Monday 25 April 2011

Langkah seterusnya... buat Bussiness Card

Betullah orang cakap... kalau nak buat perniagaan tu, segala benda perlu diambilkira... dari aspek inventori, staffing, communication, designing dan etc. Alhamdulillah saya baru sahaja selesaikan designing signboard... walau pun tidak secantik signboard outlet-outlet lain, tapi cukup berbangga kerana suami tersayang... yang tak berapa pandai IT... bertungkus lumus bekerja keras cuba menghasilkan design yang saya inginkan. Sekarang saya baru sahaja menyiapkan Bussiness Card untuk melancarkan lagi operasi outlet kami. Design BC ni bukan suami yang buat, tetapi ada seorang adik yang kerja di kedai printing yang sudi membantu saya menyiapkannya.

Untuk pengetahuan anda semua... pada Mei ini, kami menyediakan perkhidmatan terbaru iaitu perkhidmatan gunting dan mencuci rambut. Jangan segan dan malu... silalah berkunjung di outlet kami...

3 pilihan diberikan.... pening juga mana satu nak pilih...

Yang ini saya pilih....

Tuesday 5 April 2011

Biofeld daripada Felda Herbal Corporation

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Felda atau Lembaga Tanah Kemajuan Persekutuan sinonim dengan tanah rancangan dan peneroka. Antara tanaman utama yang diusahakan ialah kelapa sawit dan getah. Setelah hampir 50 tahun penubuhannya, Felda hari ini mengukir satu lagi pencapaian dengan menceburi bidang perniagaan produk berasaskan herba memandangkan potensinya yang lumayan. Untuk menerajui perniagaan herba itu, Felda Herbal Corporation Sdn Bhd (FHC) ditubuhkan pada 29 April 2004. Produk berasaskan herba kian meningkat permintaannya bukan sahaja untuk industri kecantikan malah keperluan kesihatan. Pasaran dunia untuk produk berasaskan herba dijangka mencecah RM760 bilion setahun menjelang 2008, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding nilai 2003. Industri herba Malaysia pula dilaporkan mencatat jualan tahunan sebanyak lebih RM4.5 bilion dan dijangka berganda menjelang 2010. "Industri herba merupakan salah satu agenda baru untuk Felda dalam organisasi itu memasuki tempoh 50 tahun kedua," jelas Ketua Pegawai Eksekutif FHC, Hairuddin Md Bakri ketika diwawancara di pejabatnya di sini baru-baru ini. Beliau yang memiliki ijazah pertanian dan ijazah pentadbiran perniagaan dari Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) menyertai Felda pada 1973 dan terb a b i t dalam operasi pertanian dan perladangan sebelum diberi kepercayaan memimpin FHC. "Kita berharap apa yang dilakukan ini akan menjadi satu pakej yang baik untuk peneroka dan rakyat Malaysia keseluruhannya serta menjadikan herba sebagai satu penyumbang pendapatan negara," kata Hairuddin.

INDUSTRI HERBA TEMPATAN

Herba bukanlah sesuatu yang baru dalam kehidupan harian kerana memakan herba atau ulam sudah diamalkan sejak zaman nenek moyang kita lagi. Tradisi turun-temurun ini terus diamalkan cuma hari ini kita sudah ada penjelasan sains di sebalik herba ini. Pati herba yang antaranya dijual dalam bentuk kapsul turut disertakan khasiat dan cara memakannya. Menurut Hairuddin, herba lebih merupakan makanan tambahan kesihatan. "Ianya lebih untuk pencegahan bukan rawatan. Sudut rawatan ini mungkin memerlukan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D)," katanya. Tongkat Ali, Kacip Fatimah, pegaga, peria dan misai kucing adalah antara herba tempatan yang kini semakin mendapat perhatian. Sebenarnya, Malaysia mempunyai ribuan herba yang masih belum diterokai potensinya. Hutan hujan Endau-Rompin umpamanya yang dikatakan tertua di dunia sudah pasti menyimpan khazanah herba yang tidak ternilai. Hairuddin menjelaskan terdapat kira-kira 2,000 spesies herba di Malaysia dan yang dikomersilkan cuma kira-kira satu peratus sahaja.

Industri herba tempatan juga, pada pendapatnya ketinggalan kira-kira 20 tahun berbanding negara-negara seperti India, Korea Selatan dan China. "Negara-negara tersebut sudah maju begitu jauh. Korea Selatan umpamanya mempunyai 100 tahun pengalaman dalam penggunaan herba. Mereka tak perlu banyak herba untuk dimajukan. Mungkin satu atau dua dimajukan seperti Ginseng Merah Korea," kata Hairuddin. Beliau bagaimanapun yakin Malaysia boleh maju dalam industri herba sekiranya usaha-usaha R&D yang dijalankan pelbagai pihak bukan sahaja dilipatgandakan malah diselaraskan.

PRODUK BIOFELD

FHC ditubuhkan untuk menerajui bidang perniagaan herba termasuk R&D herba, penanaman herba, pembangunan bioteknologi dan pemasaran. Syarikat ini, menurut Hairuddin mula beroperasi secara aktif sejak April 2005. "Cara yang paling baik ialah mempunyai ladang herba dan kilang sendiri. Apa yang kita lakukan sekarang terbalik. Kita bermula dengan pemasaran dulu, kita mahu lihat potensi dan citarasa pembeli sebab kita hendak mengejar masa. Pengeluaran produk kita buat dahulu secara pengilangan kontrak. "Buat masa ini kita ada tiga pengilang kontrak bumiputera. Kita berhati-hati dalam memilih pengilang kontrak ini untuk menjaga kualiti produk kita. Formulasi produk, kita yang beri, " jelas Hairuddin.

Meskipun usianya baru setahun jagung, FHC kini mempunyai 19 produk berasaskan herba yang diusahakan secara pengilangan kontrak dan dipasarkan di bawah jenama Biofeld. Antara produk tersebut ialah set penjagaan selepas bersalin, set rawatan rambut herba, minuman tenaga dan teh herba seperti teh limau purut dan teh Misai Kucing selain pati pegaga, peria dan hempedu bumi yang dijual dalam bentuk kapsul. Pasaran produk berasaskan herba sememangnya sengit. Untuk itu, kata Hairuddin, FHC bersandarkan kepada kekuatan kualiti untuk menarik perhatian pembeli. Menurutnya, produk-produk Biofeld hanya dipasarkan selepas mendapat kelulusan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan dan juga menepati keperluan Amalan Pengilangan Baik (GMP). "Produk Tongkat Ali yang kita usahakan dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai umpamanya mengambil masa setahun sebelum kita mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan lepas itu baru kita pasarkan," jelasnya. Tambah beliau, produk Tongkat Ali itu juga sudah dipaten dan mendapat kelulusan untuk dieksport dan pihaknya kini dalam proses rundingan untuk mengeksportnya ke Korea Selatan, China dan beberapa buah negara Pertubuhan Persidangan Negara (OIC).

PELUANG MENJADI USAHAWAN

Produk-produk Biofeld ini dijual menerusi kaedah jualan langsung berbilang tingkat atau Multi Level Marketing (MLM). Menurut Hairuddin, FHC merupakan satu-satunya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terb a b i t dalam industri herba yang mengamalkan kaedah MLM ini. "Produk yang dikeluarkan dan dijual menerusi MLM mesti bermutu tinggi dan telah menjalani penyelidikan yang menyeluruh," jelas beliau. Tambahnya, penjualan secara MLM juga membuka peluang kepada peneroka dan anak-anak peneroka Felda menjadi usahawan. "Peneroka yang menjadi stokis kita ada yang memperolehi sehingga RM4,000 sebulan tetapi kena rajin," kata Hairuddin. Buat masa ini FHC mempunyai 100 stokis dan mensasarkan jumlah 300 stokis menjelang tahun 2009. Terdapat beberapa peringkat stokis iaitu negeri, daerah, koperasi peneroka dan stokis bergerak, masing-masing mengikut nilai stok permulaan yang dibeli. Nilai jualan produk Biofeld pada penghujung 2005 pula dijangka sekitar RM4 juta.

R&D

Menurut Hairuddin, usaha-usaha R&D di Malaysia yang mengarah kepada komersil masih kurang. "Pemprosesan herba ada beberapa peringkat dan di Malaysia proses untuk mendapatkan ekstrak piawai masih kurang. Produk fitoperubatan (farmaseutikal) atau yang diuji secara klinikal, kurang langsung. "Kita juga ada universiti yang membuat R&D tetapi ada hasilnya tak diambil untuk dikomersilkan. Kita juga mempunyai masalah untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa," demikian pendapat Hairuddin. Beliau memberitahu, kegiatan utama R&D yang berikutnya akan dibuat secara besar-besaran dengan pusat pengajian tinggi dan pusat-pusat penyelidikan yang lain. Jelasnya, Felda Agricultural Services yang menguruskan keperluan R&D Felda akan bekerjasama erat dengan pihak-pihak tersebut. "Pengurusan Felda ada memberi dana kepada sebuah pusat pengajian tinggi untuk tujuan penyelidikan termasuk untuk penyelidikan herba. "Kami mahu fokus kepada ekstrak piawai iaitu satu tahap di bawah kategori fitoperubatan. Herba utama kita masih Tongkat Ali. Yang lainnya seperti pegaga (membantu peredaran darah dan anti-oksidan) dan hempedu bumi (berkesan untuk batuk-batuk)," kata Hairuddin. (Proses pemiawaian ialah proses dalam penghasilan ekstrak herba di mana potensi kandungan bahan aktif dalam produk dijamin pada tahap yang berterusan). Tambahnya, sebuah pusat pengajian tinggi sedang membuat kajian sama ada pati Tongkat Ali boleh dihasilkan untuk tujuan komersil selepas tempoh tiga atau empat tahun pokok itu ditanam berbanding lima hingga enam tahun sekarang.

LADANG DAN KILANG HERBA

Felda sudah mengambil langkah untuk menanam herbanya sendiri. Buat masa ini kira-kira 80 hektar tanah sudah ditanam dengan Tongkat Ali memandangkan potensi pasarannya yang besar. "Kita hanya menanam herba yang mempunyai potensi tinggi sahaja," kata Hairuddin. Selain Tongkat Ali, pegaga dan kunyit juga ditanam tetapi jumlahnya masih terhad. Beliau juga mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa Tongkat Ali sebenarnya bukan hanya untuk libido lelaki malah berdasarkan R&D, ia bagus untuk peredaran darah. Hairuddin berkata, pihaknya berharap dapat memperluaskan tanaman herba di kawasan peneroka untuk memberi mereka peluang menambah pendapatan. "Menjelang 2006, kita merancang untuk membina kilang kita sendiri supaya kita dapat mengawal keseluruhan pengeluaran. Kita mungkin dapat menghasilkan 30-50 peratus keperluan herba pada tempoh yang sama. "Kita mahu menjadi salah sebuah syarikat yang disegani dalam industri herba ini, bukan sahaja ada ladang herba komersil dan kilang sendiri malah kukuh R&D dan pemasaran," tambahnya. Bagaimanapun, beliau berkata lokasi kilang ini masih belum dapat diputuskan tetapi lokasinya perlu strategik dan boleh dimajukan sebagai bandar herba. Beliau berkata, pihaknya juga akan membuat usahasama dengan sebuah syarikat India bagi menghasilkan produk baru daripada pokok Ati-Ati India. Berbanding pokok ati-ati Malaysia, menurutnya, pokok ati-ati India yang nama saintifiknya Coleus Forskholli mempunyai ubi yang mengandungi bahan aktif "forskhollin" dan boleh digunakan untuk menangani masalah pengurusan berat badan. "Produk ini sudah mendapat kelulusan Food and Drugs Administration (FDA) Amerika dan secara kebetulan syarikat India ini mencari rakan kongsi di Malaysia. Felda ada kekuatan iaitu tanah. Keluasan tanah yang kita ada kira-kira 0.8 juta hektar. Pokok Ati-Ati India ini memerlukan tanah yang gembur untuk mudah tumbuh dan mencabut ubinya. Kita pun sudah cuba tanam pokok ini, nampak tumbuh elok," jelas Hairuddin.

NASIHAT UNTUK PENGGUNA

Sebagai nasihat untuk pengguna, Hairuddin berkata herba bukan ubat tetapi lebih merupakan makanan tambahan kesihatan. Beliau juga percaya produk-produk herba ini akhirnya dapat menggantikan semua jenis ubat moden yang kebanyakannya banyak mengandungi bahan kimia. "Sebagai manusia, hari-hari kita makan dan dalam dunia sekarang, ada macam-macam bahan pengawet dan pewarna dalam makanan yang boleh mendatangkan keracunan. Untuk itu kita perlu menjaga kesihatan, bersenam, menjalani pemeriksaan doktor dan mengambil makanan yang seimbang. "Kita juga elok mengambil langkah mencegah daripada penyakit datang dan perlu diubati. Produk berasaskan herba yang disahkan Kementerian Kesihatan dapat membantu mengukuhkan ciri-ciri pencegahan daripada penyakit dan menguatkan sistem imunisasi badan," jelasnya. Beliau juga berpendapat lebih elok menggunakan produk herba tempatan yang diketahui sendiri ciri-cirinya. "Produk tempatan tidak kurang hebatnya, malahan mungkin lebih hebat daripada produk negara luar," tambahnya.

-- BERNAMA

Dapatkan produk-produk Biofeld di outlet kami.... Liza