Wednesday 18 May 2011

Spa & Salon Penjara Wanita Kajang...

Sekadar ingin berkongsi dengan rakan-rakan yang sudi membaca blog Belleza Salon...

Spa & Salon Penjara Wanita Kajang

Di sebalik pagar berkerawat tajam dan pegawai penjara yang bersenjata api, pakar kecantikan di spa penjara Malaysia pertama sedang sibuk melayan pelanggan di bawah pengawasan warden. Biarpun dikawal ketat, spa berinovasi yang dihias gaya Bali itu tetap sibuk beroperasi, dan pada masa yang sama menjanjikan peluang kepada penghuni untuk memulakan hidup baru sebaik saja mereka melangkah keluar dari penjara wanita terbesar negara itu kelak. "Saya tidak takut langsung kerana saya percaya banduan-banduan ini dilatih dengan baik untuk melayan pelanggan dan keselamatan kami terjamin," kata Noor Aliza Osman, 45, yang datang ke spa Penjara Wanita Kajang itu buat kali kedua.

"Spa di sini selesa. Harganya juga berpatutan dan saya tidak perlu menunggu lama untuk mendandan rambut saya seperti di salon-salon lain," kata ibu kepada empat orang anak itu yang berkunjung ke spa itu untuk mendapatkan khidmat banduan berusia 30 tahun, Farah, untuk mewarnakan rambutnya.

Pelanggan tetap

Dengan rambut yang diikat kemas ke belakang dan mengenakan jaket serta seluar panjang hijau yang longgar, Farah kelihatan sama seperti mana-mana pakar kecantikan. Dia hanya dapat dibezakan melalui nombor pengenalan banduan yang tersulam pada uniformnya itu. "Saya bersyukur kerana mendapat peluang ini dan kini saya sudah ada pelanggan tetap di sini, sehinggakan ada yang baik hati menawarkan saya agar bekerja dengan mereka selepas saya keluar dari sini kelak kerana mereka sudah biasa dengan kerja saya," katanya sambil tersenyum. "Pengalaman ini amat bernilai dan saya sudah mempelajari kemahiran yang berguna di sini. Saya sedang mempertimbangkan untuk membuka spa sendiri kalau saya mempunyai wang yang mencukupi sebaik saja dibebaskan."

Farah - menggunakan nama panggilan yang ditetapkan pihak berkuasa penjara - merupakan rakyat Indonesia yang sebelum ini bekerja sebagai pelayan restoran. Dia tinggal di Malaysia melebihi tempoh visanya dan dihukum penjara selama setahun.

Perlu melalui empat poin pemeriksaan keselamatan setiap pagi untuk ke salon itu dari bilik tahanan yang terletak beberapa ratus meter dari situ, Farah ialah salah seorang daripada tujuh banduan yang kini bekerja di spa itu.

Perkhidmatan

Sebaik saja memasuki bangunan yang dipenuhi bau-bauan harum minyak beraroma, mereka dibenarkan untuk bergaul bebas, berborak dan ketawa bersama pelanggan sepanjang bekerja selama sembilan jam di bawah pengawasan tiga orang warden. Hanya banduan yang tidak melakukan kesalahan yang serius atau kejam akan diambil untuk sebarang jawatan di spa itu. Kira-kira 60 peratus daripada 1,600 banduan di penjara itu terdiri daripada warga asing dan kebanyakan daripada mereka ialah rakyat Indonesia yang didakwa dengan kes imigresen.

Salon itu sudah menerima sejumlah pelanggan tetap sejak dibuka akhir tahun lalu, menawarkan perkhidmatan kecantikan dari hujung rambut hingga hujung kaki seperti rawatan muka, kuku, urutan refleksologi kaki dan urutan dengan caj serendah RM30. "Reaksi yang kami terima sangat menggalakkan sehingga kini," kata Ketua Inspektor Penjara, Fauziah Husaini. "Pada mulanya ramai yang teragak-agak untuk datang ke penjara tetapi program ini akan dapat mengubah penerimaan orang ramai terhadap banduan dan menjadikan mereka lebih mudah diterima oleh masyarakat pada masa depan," katanya.

Tahanan yang bekerja di spa itu dibayar sejumlah kecil elaun, dan pendapatan yang diperoleh melalui perniagaan itu selebihnya digunakan untuk membantu program pemulihan lain seperti kelas memasak dan menjahit. "Pada dasarnya kami membantu mereka (banduan) untuk mempersiapkan diri agar dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat selepas mereka keluar dari penjara. Kami juga berharap program ini dapat mendedahkan aktiviti di sebalik pagar penjara kepada orang awam," kata Fauziah.

"Ia sebenarnya tentang memperkaya diri dan memberi keyakinan diri kepada banduan. Idea itulah yang melahirkan spa ini."




  
Ihsan Dari Harian Metro dan www.kakinak.com...

p/s : Kalau ada rezeki, ingat nak bawa Ieda dan Ieka (staf saya) buat massage kat sana... bagi morale boaster sikit...

2 comments: